PHKKS mendapat sumber kewangan mereka melalui derma-derma daripada individu,badan-badan korporat,syarikat-syarikat swasta dan pihak-pihak yang prihatin akan mereka yang memerlukan. Melalui bantuan kewangan inilah kanak-kanak di PHKKS dapat menguruskan kanak-kanak serta pentadbiran PHKKS. Sebagai masyarakat yang penyayang, PHKKS dapat menjalankan kegiatan amalnya dengan mengadakan aktiviti-aktiviti, program-program kemasyarakatan yang antaranya seperti menyambut hari-hari perayaan, program lawatan sambil belajar, kursus dan seminar serta motivasi, jamuan-jamuan sempena hari sambutan peristiwa, membeli peralatan terapi (seperti kerusi beroda, 'walking aid' dll.).  Disamping itu terdapat juga lain-lain program amal yang lain yang berfaedah dan bermanafaat untuk kanak-kanak tersebut. Pada Oktober 1999, PHKKS telah melancarkan Program Pembelajaran Khas Komputer dimana program tersebut menitikberatkan pembelajaran komputer secara asas(basic) kepada kanak-kanak yang berkemampuan dan ianya mudah difahami

Sehingga kini,PHKKS telah banyak menyumbangkan khidmat mereka kepada pusat ini dan bantuan serta kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk ibubapa kanak-kanak cacat dan miskin telah banyak membantu dalam merealisasikan dan memajukan pusat ini untuk menjadi sebuah organisasi yang penting bagi memainkan peranan membantu masyarakat yang kurang bernasib baik. Berasal dari sebuah bangunan yang kecil dan usang, PHKKS telah berwajah baru dan diperbesarkan bagi menempatkan lebih ramai kanak-kanak cacat dan kanak-kanak miskin yang ada dan yang akan datang.

 

Pusat Harian kanak-kanak Spastik Bandar Ipoh(PHKKS) telah ditubuhkan pada Oktober 1988 dengan pengasasnya iaitu Y.B.H.G. Datin Seri Hajjah Maria Binti Mahmud( isteri kepada bekas Menteri Besar Perak pada tahun 1977 hingga 1983 iaitu Allahyarham Dato' Seri Wan Mohamed bin Haji Wan Teh) yang mana beliau telah mendermakan sebuah bangunan yang dijadikan sebagai pusat jagaan bagi kanak-kanak cacat tersebut.Bermula dengan hanya seramai 5 orang kanak-kanak cacat sahaja pada awal penubuhannya, PHKKS kini telah berkembang dan sekarang mempunyai seramai 80 orang kanak-kanak cacat dan kanak-kanak miskin yang berada dibawah jagaan dan seliaan pusat ini.

PHKKS adalah merupakan sebuah Organisasi yang telah didaftarkan dibawah Akta Pertubuhan 1966 (No.Pendaftaran : 2967/88-Perak ) Objektif utamanya antara lain adalah untuk membantu dan menolong kanak-kanak spastik ( down syndrome, terencat akal, cacat anggota dan sebagainya) seperti memberi latihan anggota, latihan akademik serta latihan pra-sekolah .Disamping itu juga, PHKKS turut membantu kanak-kanak yang terlalu miskin dengan menyalurkan bantuan kewangan atau sebagainya hasil dari menjalankan kerja-kerja amal yang bermotifkan kebajikan.